Wednesday, May 25, 2011

Kadang-kadang kita lupa...

Kadang-kadang kita lupa untuk bersyukur kepadaNya. Lupa akan Dia dek kerana kesibukan dunia yang tiada hentinya. Lupa yang kita juga adalah khalifah di bumi ciptaanNya. Lupa akan tanggungjawab kita sebagai hambaNya.

kadang-kadang kita terlupa...

Terlupa untuk bersyukur dengan segala nikmat dan limpahan rezeki yang dikurniakanNya.
Lupa untuk bersyukur bahawa sesungguhnya Dialah punca segala kesedapan dan kenikmatan yang kita rasai didunia ini. …

Kadang-kadang kita lupa…

Lupa nak bersyukur apabila Dia bangunkan kita di tengah-tengah malam untuk bermunajat kepadaNya. Lupa untuk bersyukur bahawa sesungguhnya Dialah yang memberi kekuatan itu kepada kita. Kita berharap pada alarm untuk mengejutkan kita, tapi terlupa bahawa Dia jualah yang akan membunyikan alarm tersebut untuk mengejut kita. Dialah yang membolehkan kita untuk bangun awal setiap hari. Kita lupa untuk menghargai setiap peluang yang di beri untuk kita beramal kepadaNya. Kita terbangun dan melihat jam pukul 3.30pagi. Lantas kita pun menyambung tidur kita. Padahal Allah teringin untuk dengar suara kita pagi itu, maka Dia gerakkan kita. Kita sia-siakan peluang yang diberiNya. Kadang-kadang kita marah sahabat-sahabat yang mengganggu tidur kita, sedangkan Allah yang menggerakkan hati sahabat untuk membangunkan kita. Kadang-kadang kita lupa nak hargai peluang yang ada…Terlupa nak hargai orang sekeliling kita…

Kadang-kadang kita lupa…

Dalam kesibukan dan kebuntuan untuk mencari masa menghabiskan kerja-kerja harian di pejabat, kita lupa untuk bergantung harap dan memohon kekuatan daripadaNya.

Kadang-kadang kita lupa, bahawa kita masih punya Allah untuk kita pohon segala yang kita inginkan, untuk kita sandarkan harapan agar segalanya berlalu dengan baik.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah talah mengadakan kententuan bagi tiap-tiap sesuatu” (At-Thalaq:2-3)

Yang penting, keyakinan kita padaNya. Keyakinan bahawa Allah tidak pernah mengecewakan hamba yang meminta kepadaNya. Pohonlah apa sahaja…

Kadang-kadang kita lupa…

Lupa untuk melihat pelbagai nikmat yang telah dikurniakan kepada kita sehingga kita tertanya-tanya, kenapa aku tak jadi seperti dia? Kenapa tak comel dan secantik macam dia? Kenapa tak pandai macam dia? Kenapa tak bersemangat macam dia? Kadang-kadang kita terlupa bahawa Allah telah memberi yang terbaik untuk kita. Terlupa yang Allah hanya ingin melihat sekeping hati yang sejahtera daripada kita semua. Bukan yang lain. Terlupa yang setiap makhluk diciptakan dengan kelebihan yang tersendiri. Terlupa untuk melihat kelebihan diri sendiri sehingga menginginkan kelebihan yang diberi kepada orang lain. Terlupa yang matlamat kita serupa, tapi jalan yang dibentangkan di hadapan kita berlainan. Bersesuaian dengan keupayaan kita untuk mencari redhaNya. Terlupa untuk melihat sirah Rasulullah SAW. Ada sahabat yang bila bertanyakan rasulullah bagaimana cara untuk mendapatkan syurga? Untuk setiap mereka berlainan jawapan yang diberikan oleh baginda SAW. Ada yang perlu berbakti kepada ibu bapa, ada yang perlu berjihad di medan perang. Bersesuaian dengan kemampuan masing-masing. Kita juga begitu, lihatlah segala kebolehan yang ada pada diri dan bantulah agama Allah sedaya yang kita mampu. Tak perlu berharap untuk menjadi orang lain. Tetapi bersyukurlah dengan kelebihan yang ada dan selidikilah kelebihan yang diberikan kepada kita supaya dengannya kita mampu untuk menambah amal.

Kadang-kadang kita lupa…

Lupa kepada pesanan ibu dan ayah yang suruh belajar dengan bersungguh-sungguh agar menjadi insan yang berguna di masa akan datang. Lupa yang kita sedang memikul tanggungjawab yang besar dengan membawa segunung harapan mereka. Dan yang paling utama, kita terlupa yang belajar mampu mengubah kehidupan dan menjadikan kita orang yang lebih berilmu.

Kadang-kadang aku lupa…

Lupa pada diri sendiri tatkala berpesan kepada orang lain. Lupa yang tangan ini sendiri yang menaip dan otak ini yang berfikir. Lupa yang telinga yang paling dekat adalah telinga sendiri. Lupa untuk berpesan pada diri sendiri agar sentiasa positive dalam kehidupan ini. Lupa yang terkadang kita pernah menyakit atau menyinggung perasaan orang yang disekeliling kita dan tanpa kita sedari kita telah pun melakukannya.
Maka, sentiasalah kita saling ingat mengingati serta pesan berpesan sesama kita agar sentiasa rasa bersyukur dengan di atas segala pemberianNya

nOta kaki : Alhamdulillah ya Allah, atas segala nikmat, rezeki serta peluang yang Engkau berikan kepadaku, Alhamdulillah ya Allah, kerana Engkau hadirkan mereka2 yang sentiasa menyayangi serta menghargai diri ini.

1 comment:

a.R said...

makcik, lama tak update.. jom join GA ni..ne tau rezeki menang..jom!

http://sipenyapuburuk2.blogspot.com/2011/05/ulangtahun-ke-3-nusha.html